Friday, October 12, 2012

tips belajar


  1. Tentukan serta tetapkan mata pelajaran yang mahu dipelajari dan berapa lama tempoh masa dan tahap kuantiti pembelajaran. Contohnya bab, muka surat serta topik. Setkan tarikh akhir bagi memastikan semuanya selesai dipelajari.
  2. Lakukan terlebih dahulu pembelajaran bagi mata pelajaran yang lebih sukar difahami hingga kepada mata pelajaran yang mudah dikuasai. Sebagai langkah permulaan, perkara ataupun topik yang paling menarik dalam sesuatu mata pelajaran ditelaah terlebih dahulu. Cara ini dapat memupuk minat seterusnya kepada perkara ataupun topik yang sebelum ini tidak diminati oleh pelajar.
  3. Pelajar perlu memilih tempat yang dapat menarik semangat dan minat belajar. Faktor cahaya lampu perlu dipastikan supaya tidak malap ataupun gelap sehingga menjejaskan penglihatan anda. Begitu juga elakkan daripada suasana riuh dan bising serta panas yang dapat mengganggu konsentrasi atau tumpuan belajar.
  4. Belajar dalam lingkungan jangka masa antara 50 hingga 60 minit dan beri minda dan badan anda berehat selama lebih kurang 10 minit hingga 15 minit. Pelajar juga boleh melakukan gerakan regangan ataupun senaman bagi mengembalikan kecergasan anda semula. Dalam masa berehat itu, pelajar juga boleh menikmati sedikit juadah minuman ataupun berkomunikasi sejenak bersama rakan, ahli keluarga dan individu yang rapat dengan pelajar.
  5. Apabila berasa penat ataupun jemu, pelbagaikan cara pembelajaran. Baca mata pelajaran lain ataupun tukar suasana persekitaran belajar. Hentikan proses pembelajaran apabila fikiran anda sudah tidak berupaya menerima ilmu secara terus. Sambung semula apabila minda sudah bersedia kembali.
  6. Ulang dan ingat semula apa yang anda pelajari dengan lengkap dan teratur.
  7. Berusaha belajar bersama rakan-rakan supaya saling dapat menyoal dan menguji antara satu sama lain. Buat perbandingan nota anda dengan rakan lain dan kerap membuat latihan dan ramalan mengenai soalan peperiksaan.
Sebenarnya dalam banyak-banyak tips di atas ini, no 7 memang sukar dilaksanakan memandangkan sukar ingin buat study group dengan pelajar OUM  dan digantikan dengan online forum dalam sistem myVLE. Itu pun tidak semua pelajar dapat berbincang bersama-sama. Yang mana aktif sahajalah yang rajin utarakan soalan atau menjawab soalan di dalam online forum selain daripada e-tutor.

Untuk tips yang no 2, selalunya Mia lebih suka baca mata pelajaran yang paling digemari sebab akan cepat habis dan mudah difahami, Kemudian barulah Mia baca mata pelajaran yang susah. Bagi Mia, bila susah dan kompleks, kena peruntukkan lebih masa dan beri tumpuan yang mendalam. Kalau tak serius memang susahlah nak faham.

Tips no 4 pula, di kala waktu rehat belajar, Mia selalunya akan membuat sesuatu yang menggembirakan hati.  Contohnya update blog ke... tengok video muzik ke.. Masa belajar Mia yang paling berkesan ialah di waktu awal pagi macam ni. Kadang-kadang tu buat kerja-kerja rumahtangga ke... terpulang. Lepas tu barulah sambung belajar semula.

Tips no 5, wajib ambil perhatian yang serius bila agak-agak kepala ini dah tepu, dah tak boleh masuk lagi. Bila baca lepas tu terfikir apa benda yang dibaca ini... Itulah tanda-tanda  harus hentikan proses pembelajaran. Jangan paksa diri untuk habiskan belajar juga. Belajar di kala otak sedang letih dan penat akan merugikan diri sebab semuanya tidak akan dapat diingati. Berhenti sahaja dan buatlah kerja lain yang patut.

Bila belajar ini. kita kena pandai sesuaikan tips-tips di atas dengan cara yang paling kita selesa. Yang penting kita belajar.. Semoga berjaya dalam peperiksaan nanti... Good luck!

0 comments:

Post a Comment